Oleh Ahmad Lutfi Othman - Harakahdaily
Berdasarkan keputusan beberapa pilihan raya lalu, walaupun dalam situasi kritikal buat BN, gabungan parti itu sering diselamatkan oleh pola pengundian yang agak "saling bertentangan" oleh pengundi pelbagai kaum negara ini.
Ketika majoriti pengundi Melayu menolak secara terbuka Umno-BN dalam pilihan raya bersejarah 1999, yang ditandai kebangkitan tuntutan reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim, pengundi bukan Melayu dilihat menyelamatkannya. Dikatakan sekurang-kurangnya tujuh daripada sepuluh orang Melayu waktu itu menolak BN, tetapi ada pengundi bukan Melayu yang secara tradisinya menyokong pembangkang bimbang kerajaan BN boleh tumbang, maka mereka beralih mengundi BN.
Teori Pendulum sokongan terhadap PAS-DAP
Walaupun hampir semua kerusi Parlimen di kawasan Malay belt seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya ke-10 itu jatuh ke tangan PAS, namun pemerintahan majoriti dua pertiga BN di peringkat pusat dan negeri-negeri lain tidak terjejas.
Bagaimanapun, semasa DAP mencapai kejayaan cemerlang pada pilihan raya 1986, dengan sokongan pengundi Cina, yang menyaksikan penguasaan 24 kerusi Parlimen dan 21 peratus undi popular, PAS yang bertanding buat pertama kali di bawah era kepimpinan ulama, hanya mendapat kerusi tunggal di Pengkalan Chepa. Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri tewas di Bachok.
Maknanya, apabila majoriti pengundi bukan Melayu, terutama masyarakat Tionghua, menyokong pembangkang, maka trend pengundian orang Melayu pula kembali menyokong BN. Ketika Umno menghadapi krisis keyakinan di kalangan pengundi Melayu, masyarakat bukan Melayu menunjukkan sokongan kepada BN.
Justeru, nampak seolah-olah formula BN untuk kembali menang besar dalam pilihan raya berikutnya agak mudah, terutama dengan memperalatkan SPR dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, atau lebih popular dikenali sebagai proses gerymandering.
Pengundi Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu, "didera" secukupnya selepas Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad berang dengan keputusan pilihan raya 1999. (PAS mempertahankan Kelantan dan menawan Terengganu, manakala BN di Kedah, majoriti dua pertiganya dalam sidang Dun berjaya dinafikan, sementara jumlah kerusi Parlimen PAS di negeri itu lapan, berbanding Umno hanya lima).
Demi mengekalkan kuasa, pimpinan Umno sanggup melihat kerusi majoriti Melayu tidak bertambah, dengan andaian membanyakkannya di tiga negeri berkenaan hanya membawa padah buat survival BN.
Tiada langsung penambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri berkenaan, selain "kerusi campuran" diperbanyakkan di negeri-negeri lain. Penyusupan pengundi bukan Melayu dibuat secara terancang di beberapa kerusi Parlimen milik PAS di Kedah, seperti Pokok Sena, Baling, Yan dan Kuala Kedah, dengan andaian mereka merupakan penyokong setia BN dan bilangan yang ditambah itu memadai untuk mengalahkan calon PAS.
Maka tewaslah Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Ustaz Taib Azamuddin, manakala Ustaz Nasaruddin Mat Isa terpaksa berpindah ke Besut, Terengganu dan turut kalah.
Kebangkitan serentak
Dalam pilihan raya yang lebih bersejarah pada Mac 2008, kebangkitan pengundi bukan Melayu nampak ketara, tidak lagi terhad kepada masyarakat Cina malah lebih menonjol di kalangan komuniti India. Secara terbuka sokongan terhadap PAS dizahirkan. Laungan "makkal sakhti" (kuasa rakyat) memang betul-betul mempunyai "sakti" sehingga Presiden MIC, Sammy Vellu bersama pimpinan kanan parti, kecundang dibuatnya.
Kelab Penyokong menjadi wadah untuk mereka aktif berkempen memenangkan PAS, dan hasilnya terakam indah dalam sejarah politik negara. Bendera PAS diarak oleh pengundi India, ramai di antara mereka "membalut" tubuh dengan panji-panji hijau-putih itu sepanjang tempoh berkempen dan di hari mengundi.
BN memang berpeluang untuk terus memanipulasi proses persempadanan semula menjelang pilihan raya ke-13, tetapi ia tidak semudah dahulu. Apakah kali ini pengundi bukan Melayu pula yang akan dihukum, lalu diperbanyakkan pula "kerusi Melayu" memandangkan Umno masih dilihat berpengaruh di kawasan luar bandar, termasuk di negeri yang sudah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, seperti Selangor dan Perak? Di dua negeri ini, wakil BN yang bertindak sebagai pembangkang hampir semuanya daripada Umno; calon-calon daripada MCA, MIC dan Gerakan kalah mengejut.
Pengundi Melayu di kampung bakal berontak?
Tidak semestinya pengundi Melayu di kawasan luar bandar akan terus setia dengan Umno-BN kali ini. Lagipun, dalam pilihan raya 8 Mac lalu, orang Melayu di desa turut menunjukkan protes terhadap BN meskipun mungkin tidak sebesar yang dilakukan pada 1999. Tanpa kebangkitan bersama pengundi Melayu sudah tentu Pakatan tidak dapat membentuk lima kerajaan negeri. Manakala pengundi Melayu di bandar, dan juga yang membentuk kelas menengah, semakin matang kesedaran politik mereka.
Lalu, apa pilihan BN menjelang pilihan raya ke-13 nanti? Mampukah SPR terus ditunggangi memandangkan komitmen parti-parti Pakatan Rakyat dan badan-badan sivil untuk memperjuangkan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil -- seperti ditunjukkan dalam demonstrasi besar-besaran anjuran Bersih tidak lama dulu -- bertambah agresif.
(Satu peringatan: Dalam diam, tanpa sempat dihidu, BN tentu merancang taktik baru bagi memintas kemenangan Pakatan. Pimpinan BN masih menguasai kerajaan persekutuan, dengan agensi-agensi strategik masih di bawah kawalan mutlak mereka. Jadikan kes Terengganu menjelang pilihan raya 2004 sebagai iktibar bermakna).
Namun begitu, peralihan sokongan kepada Pakatan Rakyat tentu disusuli harapan besar masyarakat untuk melihat perubahan positif diterapkan sebelum penggal pemerintahan ini berakhir. Rakyat tentu mahu memastikan kehidupan mereka lebih baik, keadilan boleh dilaksanakan, pengagihan kekayaan lebih merata, rasuah diperangi, diskriminasi kaum-kelas dihapuskan, dan konsep kerajaan berkebajikan -- walaupun dalam batasan negeri -- dapat direalisasikan.
Lima negeri sebenarnya menampung sudah cukup besar ruang bagi kerajaan Pakatan Rakyat melakukan reformasi yang bermanfaat buat rakyat, apatah lagi ia melibatkan tiga negeri terkaya di Malaysia, manakala Kedah dan Kelantan mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Usah hanya disibukkan dengan rutin memastikan pemerintahan berjalan lancar tanpa berupaya menampilkan pembaharuan berkesan.
"Sekurang-kurangnya biarlah rakyat di negeri-negeri Pakatan dapat merasai perbezaan, walaupun untuk perkara-perkara asas, seperti jalan tar yang tidak berlubang-lubang atau lampu jalan yang lebih cerah dan banyak dipasang," kata Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud ketika kami bersembang dalam penerbangan AirAsia dari Alor Setar ke KLIA, tidak lama selepas pilihan raya 8 Mac.
Namun, jangan mudah terjerat dengan perangkap perkauman serta mengulangi kesilapan Umno-BN selama ini. "Hantu perkauman" dipercayai masih "merayau-rayau" mencari mangsa. Oleh itu, saya kira, penjelasan terhadap nilai-nilai politik baru wajar dikembangkan kepada audien yang lebih meluas agar "puaka" lama itu dapat dikuburkan terus.
Prestasi Pakatan sedang diteropong
Rakyat tidak memberi cek kosong untuk diisi semahunya oleh pimpinan lima kerajaan negeri itu. Penyokong Pakatan Rakyat merupakan golongan kritis yang peka dengan setiap gerak pimpinan yang diangkat mereka. Justeru, tidak hairan apabila semakin banyak tanggapan negatif diluahkan melalui internet, sebahagiannya bernada kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan, tidak terkecuali ada yang mengkritik khusus pimpinan PAS.
Rasanya, jawapan balas yang memuaskan, terutama daripada segi amalan praktik, masih sukar diperolehi. Kita bimbang, jika rasa tidak puas hati itu terpendam dalam dada, ia mungkin dimuntahkan dalam bentuk penolakan sokongan undi semasa pilihan raya akan datang. Seperti sering diulang, jangan pandang mudah sebarang persepsi negatif pengundi terhadap PAS (dan juga Pakatan Rakyat) walaupun mungkin ia tidak diasaskan kepada fakta yang benar.
Soalnya, apakah strategi atau pendekatan politik berkesan untuk memenangi hati pengundi Melayu di kampung-kampung, secara automatik, pada masa sama, akan mengecewakan masyarakat Cina atau India?
Soalnya, apakah strategi atau pendekatan politik berkesan untuk memenangi hati pengundi Melayu di kampung-kampung, secara automatik, pada masa sama, akan mengecewakan masyarakat Cina atau India?
Sebaliknya, apakah usaha mempertahankan sokongan pengundi bukan Melayu hanya akan menyebabkan orang Melayu mencurigai Pakatan, sekali gus mempersoalkan jatidiri PAS sebagai parti Melayu-Islam?
Isu-isu kontroversi seperti ladang babi dan jawatan Pengurus Besar PKNS di Selangor, dan kuota pemilikan rumah Bumiputera di Kedah mungkin nampak kecil, tidak terkecuali isu kampung baru di Perak, namun dalam suasana api politik komunal begitu mudah terbakar, kebijaksanaan pimpinan Pakatan untuk menanganinya amat dituntut.
Komitmen Anwar ke atas 5 negeri dituntut
Sokongan dalam pilihan raya akan datang tidak sukar ditelah. Ia banyak bergantung sejauh mana keupayaan lima negeri (terutama Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor) dapat memenuhi impian pengundi yang menolak BN Mac lalu.
Kemampuan Pakatan mempertahankan sokongan bukan Melayu dan menarik lebih banyak undi Melayu akan membuatkan Umno-BN hilang takhta seluruhnya. Namun begitu, ia pastinya tidak datang menggolek di kala ramai pemerhati khuatir kerana belum nampak perancangan serius dibuat ke arah itu.
Persefahaman sesama parti dalam Pakatan harus terus dimantapkan dengan mengelak isu-isu sampingan dan "murahan" menjadi punca keretakan, selain sering mengadakan program bersama. Jalinan erat kerjasama itu hendaklah diperlihatkan bukan sahaja di peringkat pimpinan, tetapi juga meresap ke akar umbi.
Usaha membangunkan lima negeri di bawah Pakatan perlu digandingkan dalam satu perancangan bersama yang bersifat komprehensif. Rasanya sudah beberapa kali penegasan dibuat ke arah itu, oleh Anwar Ibrahim, tetapi hingga kini rakyat belum nampak perlaksanaannya. Dengan pengalaman berharga bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan itu, serta hubungan meluasnya termasuk dengan pihak di luar negara, Anwar dipercayai dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan di negeri-negeri berkenaan.
Malah saya, sebelum pilihan raya ke-12, agak tertarik dengan cadangan agar Anwar bertanding di negeri Selangor, bagi memungkinkannya menjadi Menteri Besar jika BN dapat dikalahkan di negeri itu. Selangor boleh menjadi negeri teladan apabila Pakatan Rakyat dapat membangunkannya secara lebih bersepadu dan holistik. Ini dilihat dapat menyuntik keyakinan di kalangan rakyat untuk memberi undi lebih besar kepada Pakatan Rakyat untuk pilihan raya berikutnya.
Bagaimanapun, seingat saya, cadangan itu langsung tidak dipedulikan, apatah lagi apabila keputusan pilihan raya lalu menunjukkan kemenangan besar pembangkang yang langsung tidak dijangka! _
-Penulis adalah editor Harakah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan