by NOBISHA
Sembang-sembang dengan seorang teman baru-baru ini. Sambil pekena teh tarik, dia bercerita mengenai politik kapalterbang dalam UMNO. Huh? Politik kapalterbang? Ya, kawan saya kata, politik kapalterbang. Saya tukang lapor saja.
Begini. Tak kiralah kapalterbang tu Malaysia Airlines, AirAsia atau Firefly. Sebelum naik, bunyi bising. Bunyi enjin. Makin besar kapalterbang, makin kuat bunyi enjin. Banyak power kot. Apabila nak berlepas lagi kuat. Bagi yang takut naik kapalterbang, pegang kerusi kuat-kuat. Takut kapalterbang jatuh. Maklumlah, bunyi kuat!
Bagaimanapun, selepas kapalterbang tu naik ke atas dan berada pada ketinggian yang betul, bunyi tu hilang. Dah tak dengar lagi bunyi bising. Pada masa itu, pramugari yang cun pun datang menghidangkan makanan. Selepas makan dan minum sepuas-puasnya, penumpang kapalterbang tu pun semua tidur. Berdengkur dan mimpi yang indah-indah.
Ada kala tu, bukan penumpang saja yang tidur, malah pilot pun tidur sama! Baca di sini, di sini dan di sini. Senyap sunyi satu kapalterbang.
Nak tahu bilakah kapalterbang tu akan bising semula? Ya, bila dia mendarat. Apabila saja kapalterbang tu mencecah tanah, mengaum balik. Malah, bunyi kapalterbang yang mendarat lebih kuat dari bunyi kapalterbang yang nak berlepas. Kuat betul, sampaikan penumpang rasa kapalterbang macam nak terbalik. Sekali lagi, semua penumpang kena pegang kerusi.
Itu kapalterbang. Politik dalam UMNO pun sama.
Tiga tahun sekali, semua orang dalam UMNO bising. Musim pemilihan parti, semua orang nak bercakap. Ada saja yang tak kena. Ada saja yang tak betul. Itu nak diubah. Ini nak dibetulkan. Macam-macam idea ada. Hebat-hebat semuanya.
Yang kelakar tu, orang yang bising-bising tu ialah orang yang ada jawatan dalam parti. Sebelum ini mereka berada dalam Majlis Tertinggi UMNO, Badan Perhubungan, dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian. Tak kisahlah apa jawatan pun, yang penting mereka berada dalam badan pembuat keputusan yang saya sebutkan tu.
Elok kita tanya, apakah yang mereka buat selama ini. Adakah mereka pun jadi macam kapalterbang tadi. Senyap sunyi apabila berada di awangan pada ketinggian 35,000 kaki. Adakah selama ini mereka tidak tahu masalah dalam UMNO?
Selepas Mac ini, retorik akan berhenti. Kenyataan-kenyataan yang kritikal terhadap parti akan senyap. Laporan rasuah akan hilang. Pemimpin yang banyak bercakap pun akan diam. Semuanya bermimpi lagi sehinggalah musim pemilihan parti yang akan datang.
Saya tahu ada orang marah dengan tulisan ini. Nak marah pun marahlah. Saya dah lama melihat politik kapalterbang dalam UMNO. Bukan sekali, dah banyak kali. Bukan kali ini, sebelum ini pun dah berlaku. Perkara yang sama akan berlaku selepas Mac ini. Kapalterbang UMNO akan diam kembali.
Oklah, saya nak buat survey. Di sidebar blog ini ada poll.
Soalan saya ialah: Adakah anda merasakan UMNO akan berubah menjadi lebih baik selepas pemilihan kepimpinan parti Mac ini?
Pilih antara "ya" atau "tidak".
Saya tak mahu meramalkan jawapan yang akan anda berikan, tetapi saya yakin jawapan itu mencerminkan sikap rakyat terhadap politik kapalterbang dalam UMNO.
Tak percaya?
Tunggu!
dari blog NOBISHA
p/s - hehehehehehe...aku tukang boh dalam blog saja...hehehehe...orang umno sendiri yang kata... Nak pi UNDI..?? Masuk blog Nobisha dan pangkah mana yang patut..!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan