Selamatkan MaLaYsiA Dan Semuanyaa...

Lakaran Zunar semasa didalam Lokap Polis...

Lakaran Zunar semasa didalam Lokap Polis...

Dr. Danial : Isu Non Muslim Masuk Masjid

Dr. Asri : Isu Non Muslim Masuk Masjid

7.12.08

Empat Terkorban, Seorang Masih Hilang Dalam Kejadian Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa - malaysiakini


Kejadian tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat sini awal Sabtu pagi mengorbankan empat orang apabila 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama tertimbus.


Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20; Dr N. Yogeswari, 40; dan Eng Yee Peng, 30; dan warga Indonesia Surinah, 30-an.Yang masih hilang ialah seorang lelaki dewasa yang identitinya belum dikenal pasti.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan nama-nama mereka yang terkorban dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu.Hasil bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa terawal mendapati mereka meninggal dunia akibat lemas manakala mayat keempat akan dibedah siasat hari ini, katanya.

Sehingga berita ini ditulis, usaha mengeluarkan mangsa kelima masih diteruskan.Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, Khalid berkata kejadian tanah runtuh itu telah mengakibatkan sebahagian daripada rumah terbabit roboh sepenuhnya manakala yang lain pula hanya sebahagian.

Sabtu petang, pasukan mencari dan menyelamat menggunakan jengkaut untuk mengesan mangsa yang tertimbus itu memandangkan kejadian telah berlaku lebih 12 jam.Khalid berkata pasukan mencari dan menyelamat menggunakan kepakaran untuk memastikan mangsa tertimbus tidak tercedera apabila jengkaut digunakan.

Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan selama 24 jam tanpa henti walaupun hujan."Tetapi jika hujan terlalu lebat hingga membahayakan pasukan mencari dan menyelamat, operasi akan dihentikan sementara waktu," katanya.

Beliau berkata terdapat 14 pasukan penyelamat di lokasi dan mereka akan turut membuat dua laluan alternatif supaya penghuni yang tinggal di kawasan berhampiran boleh keluar."Mereka yang diarahkan pindah dari kawasan kejadian ditempatkan di pusat sementara di Sekolah Kebangsaan Hulu Klang. Mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah mendapat pengesahan Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia) jika kawasan itu selamat," katanya.

Sehingga pukul 9.30 malam, 48 keluarga telah mendaftar di pusat pemindahan itu namun hanya 10 keluarga yang tinggal di pusat itu.Khalid berkata masalah yang dihadapi sekarang adalah keadaan tanah yang masih bergerak dan tidak stabil apabila usaha mengorek tanah dijalankan.

Kawasan runtuhan itu meliputi empat hektar dengan kawasan sekitarnya terletak dalam lingkungan satu kilometer.Sebelum itu, beliau melaporkan 93 orang mangsa kejadian tanah runtuh itu berjaya menyelamatkan diri.

Khalid berkata polis telah menasihati antara 3,000 dan 5,000 penduduk di situ agar meninggalkan rumah mereka, yang kebanyakannya berupa apartmen.Pegawai Perhubungan Awam Hospital Kuala Lumpur (HKL) Zaiton Abu Bakar berkata 14 mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu.Mangsa yang mengalami kecederaan menerima rawatan awal di surau Addinniah di Bukit Antarabangsa sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan dengan menggunakan tidak kurang daripada 12 ambulans.

Jurucakap bomba dan penyelamat yang berada di tempat kejadian berkata banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah.Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.Mohamed Thajudeen sekeluarga bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.

Menurut bomba dan penyelamat, tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah.Pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) giat menjalankan kerja menyelamat.Kejadian tanah runtuh itu mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus-ratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.Mereka yang terperangkap dan juga pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai laluan alternatif memandangkan jalan utama ke kawasan itu tidak dapat dilalui.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali yang melawat tempat kejadian berkata pergerakan tanah masih berlaku dan bekalan elektrik di beberapa kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa terputus.Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut melawat tempat kejadian.

Tanah runtuh itu berlaku kira-kira 1.5km dari tempat berlaku runtuhan satu dari tiga blok 12 tingkat kondominium Highland Towers pada 11 Dis 1993, mengorbankan 48 orang.Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa juga yang ketiga berlaku di Lembah Klang dalam masa seminggu.

Pada 30 Nov, dua beradik Noratirah Roslan, 16, dan Nurul Intan Sarina, 9, terbunuh dalam kejadian runtuhan tanah yang menimpa banglo kediaman mereka di Ulu Yam Perdana, Gombak.Khamis lepas, tanah runtuh di Jalan Semantan meranapkan dinding konkrit kawasan meletak kenderaan yang terletak antara dua bangunan, mengakibatkan enam kereta tertimbus selain merosakkan lima lagi kenderaan.Kesemua kejadian tanah runtuh ini dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah, dan keadaan itu diburukkan lagi oleh hujan lebat sejak beberapa minggu lepas.


Posted by Topengperak_Xinwugi / weblog Perisik-Rakyat.com

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

orang mewah dh risau tinggal kt kwsn keboleh runtuhan tinggi,org kurg mewah dh biasa tinggal kt kwsan kebolehbanjiran tinggi

Related Posts with Thumbnails