Selamatkan MaLaYsiA Dan Semuanyaa...

Lakaran Zunar semasa didalam Lokap Polis...

Lakaran Zunar semasa didalam Lokap Polis...

Dr. Danial : Isu Non Muslim Masuk Masjid

Dr. Asri : Isu Non Muslim Masuk Masjid

16.8.09

Himpunan Anti-ISA: Premis Perniagaan Ditutup Atas Arahan Polis...??? ~ malaysiakini


Suatu petang 3 Ogos di Perhentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur empat orang lelaki sedang leka berbual di gerai kiosk makanan berhampiran bangunan perhentian teksi.

Seperti biasa, telinga lintah saya memainkan peranan dengan baik sekali. Oleh kerana mereka banyak kritik GMI dan para demonstran yang turun di jalanan, 1 Ogos lalu, maka saya pun mengutip beberapa isu yang saya fikirkan penting direnungkan bersama.

Seperti biasa, oleh kerana mereka membawa teksi, maka mereka banyak mengadu susah, sibuk dan kesesakan lalu lintas pada 1 Ogos lalu.

"Aku nak cari pelanggan pun susah," kata salah seorang daripada mereka. "Sesak, jalan tu dah kena tutup."

Lalu, hal yang sedemikian itu disambut oleh teman-teman semata pencarian dengannya. Itulah kisah kesusahan pemandu teksi tersebut. Belum masuk lagi keluhan para peniaga berjiwa Umno termasuk mereka yang telah lama diperbodohkan Umno selama ini.

Agak lama mereka berbual, maka salah seorang dalam kalangan mereka akhirnya telah menyebutkan hal tindakan para peniaga yang menutup premis perniagaan mereka.

"Polis yang minta ditutup premis perniagaan. Jadi, mereka pun tutuplah.." katanya.

Kedai ditutup agar memudahkan polis menyuraikan perhimpunan?

Jikalau hal yang disebutkan oleh pemandu teksi yang saya dengar di Jalan Duta ini benar, maka ada beberapa perkara yang mesti kita renungkan bersama.

Pertamanya, tindakan GMI dan para demonstran turun di jalanan itu adalah sah menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan rakyat kita berhimpun.

Maka, jika ada mana-mana perundangan, akta-akta yang membatalkan hasrat kita untuk berhimpun, menyuarakan hasrat dan bantahan, maka akta itu adalah akta batil.

Ini kerana, disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa perlembagaan ini ialah undang-undang yang tertinggi selepas merdeka. Dan, mana-mana perundangan yang ada bersalahan dengan peruntukan perlembagaan, maka ia (akta tadi) adalah terbatal.

Syahadan, kalau rakyat dibenarkan berhimpun oleh Perlembagaan Persekutuan, dan polis menggunakan kuasanya atau menggunakan alasan permit sebagai suatu alat untuk sahkan perhimpunan itu, maka segala tindakan polis tempoh hari adalah tidak wajar.

Pendek kata, permit polis itu adalah suatu yang terbatal dan polis tidak boleh menjadikan alasan --- perhimpunan itu tiada permit, maka polis berhak menyuraikan perhimpunan itu --- sebagai suatu kenyataan keramat. Apa-apa yang diyakini polis sebagai suatu keramat bagi mereka itu, sebenarnya, pada hakikatnya adalah suatu yang tidak betul.

Umno, BN dan polis seharusnya bertaubat, bermuhasabah dan kembali ke pangkal jalan untuk meminta maaf kepada rakyat di atas segala kesilapan mereka selama ini yang telah berlaku biadap hingga melanggar tebing peraturan, menabrak perlembagaan negara.

Permit polis untuk berhimpun adalah batil!

Pihak penganjur sebetulnya boleh memaklumkan polis supaya mereka dapat mengadakan kawalan agar laluan pada 1 Ogos lalu, terurus baik. Dan polis patut memansuhkan sistem permit kerana amalan ini bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan mahasiswa di Indonesia, bahawa polis dimaklumkan oleh para penganjur bahawa mereka akan membuat perhimpunan. Dan polis mengizinkan perhimpunan tersebut berjalan dengan baik, tenang dan aman.

"Syaratnya, jangan dibuat pada hari perayaan umum dan polis akan datang untuk pastikan keselamatan awam," kata seorang pimpinan siswa Indonesia.

Dalam konteks negara kita, mungkin rundingan demi rundingan boleh dilakukan lagi jika polis, mahu menjernihkan keadaan ini.

Ketua Polis Negara, Musa Hassan sepatutnya belajar dengan pasukan polis di Indonesia berhubung hal ini. Ketepikan dulu soal mereka bekerja di bawah BN dan cuba-cubalah buka pintu rundingan bersama pihak demonstran dan penganjur perhimpunan itu.

Jika polis bersedia belajar mengenali di mana kesilapan mereka ini, yang akan cuba tutup pintu rundingan ini, hanyalah Umno dan Barisan Nasional sahaja.

Mansuhkan ISA, bukan pinda: Najib tak reti bahasa!

Lihat sikap Najib yang marah-marah kepada demonstran, GMI, pembangkang yang telah mengadakan perhimpunan tempoh hari.

Beliau marahkan demonstran yang tak sabar dengan keputusan kerajaan yang akan pinda ISA. Kalau Najib bijak, dia tentu tahu dan sedar, kenapa perhimpunan itu masih berlaku. Ada beza antara pinda dan mansuh. Pindaan bererti, ada ruang untuk menzalimi lagi.

Maka, perhimpunan itu masih wujud kerana kerajaan bukan mahu mansuhkan, tapi cuma pinda sahaja. Seperti juga PPSMI, bukan mansuhkan, tetapi penundaan ke atas kononnya mahu dimansuhkan pada 2012. Sebab itulah, masih ada yang membantah.

Kebodohan Najib dalam hal memahami kehendak rakyat ini tidak sama dengan hasratnya saat mengumumkan tiga budaya Umno yang mahu mendengar suara rakyat, berkhidmat untuk rakyat, dan mampu menyelesaikan masalah rakyat.

Ini semua slogan Najib yang palsu. Para demonstran itu adalah rakyat juga. Rakyat yang mahukan ISA itu dimansuhkan, bukan dipinda. Jadi, Najib menipu atau terlupa ketika dia umumkan penegasan berhubung amalan tiga budaya Umno tersebut.

Budaya Umno pertama-mendengar suara rakyat telah dipatahkan oleh sebab Najib sendiri tak mahu mendengar suara rakyat dalam kalangan demonstran yang ingin ISA dimansuh. Rakyat tidak mahu lagi ISA dipinda-pinda.

Jadi, jika Najib tak mahu mansuh dan cuma meminda, maka Najib selaku Presiden Umno sendiri tidak amalkan segala yang beliau katakan itu mengenai Budaya Umno.

Jika Najib selaku Presiden Umno sendiri sudah gagal mendengar suara rakyat, maka ahli-ahli Umno juga tak mungkin mampu mengamalkan tiga budaya Umno tadi. Mungkinkah ketam mengajar anaknya sendiri berjalan dengan betul?

Kalau Najib sudah gagal mengamalkan budaya Umno yang pertama, maka budaya Umno yang kedua dan ketiga pun, sudah tentulah akan gagal dilaksanakan juga.

Polis dan Umno perlu bertanggungjawab di atas kerugian para peniaga

Apa pun, kembali kepada tajuk bualan berhubung tertutupnya premis perniagaan dengan sebab wujudnya perhimpunan tersebut.

Persatuan peniaga yang rata-ratanya aktivis Umno sepatutnya sedar bahawa polis dengan arahan Umno, mahu membelasah demonstran. Tapi, dalam masa sama, mereka tak mahu hal itu jejaskan orang ramai. Umno, polis mungkin risau rakyat akan marah mereka.

Apa yang perlu polis buat sekarang? Maka, salah satu langkah kilat dan bijak, ialah kaum peniaga diperalatkan dengan bantuan media. Kononnya, premis perniagaan ditutup. Jadi, ini semua salah demonstran. Padahal, polis yang mengarahkan premis itu ditutup.

Sebab itulah, antara tindakan yang perlu polis lakukan ialah, mengarahkan peniaga agar menutup ruang premis perniagaan agar mereka mudah meletupkan bom, menyemburkan water canon kepada demonstran setelah premis perniagaan itu ditutup.

Kaum peniaga juga mempunyai kepentingan yang perlu Umno laksanakan. Dan, mereka juga perlu berunding dan bersyura dengan ahli-ahli dan para pimpinan Umno.

Mungkin kaum peniaga itu akan terpaksa berdepan dengan suatu keadaan di mana, segala pintu rundingan dan jalan bermesyuarat sudah tertutup rapat.

Hal yang sama pernah diterima Kumpulan Prihatin saat ingin berunding dengan mantan Menteri Pelajaran Hishammuddin Hussein berhubung pemansuhan PPSMI. Maka, Najib yang khuatir dengan masalah sepupunya itu, dengan segera menyelamatkan Hishamudin dengan meletakkan beliau ke suatu jawatan yang lain pula.

Jadi, setelah rundingan tertutup, maka sebab itulah hadirnya GMP yang ditubuhkan untuk memansuhkan PPSMI. Kalau PPSMI dimansuhkan melalui rundingan secara baik, damai, nescaya tidak berlaku perhimpunan GMP di Istana Negara sebelum ini.

Perhimpunan terjadi setelah rundingan demi rundingan telah ditutup rapat. Cubalah nanti kalau para peniaga mahu membuat apa-apa tuntutan kepada kerajaan dan mesyuarat pun tidak dipedulikan lagi, tentulah pertubuhan peniaga pun terpaksa berhimpun juga.

Pada saat itulah, polis dengan arahan Umno akan terus meneruskan proses biasa juga. Peniaga akan dinasihatkan meminta permit terlebih dahulu. Permit pun kalau diminta juga boleh jadi diberi, atau tidak diberi atau kalau diberi pun, boleh ditarik semula pada saat-saat akhir dengan sebab Umno tidak mengizinkan para peniaga itu berhimpun.

Kena tambah RM1

Saya pulang ke Kg Baru dengan kupon sebanyak RM11 dari Jalan Duta. Sebelum wujud sistem ini, kebiasaannya, tambang lebih kurang RM7 telah dikenakan dengan meter.

Kali ini, selain dikenakan caj RM11, tiba-tiba pemandu teksi itu meminta lebihan RM1, lalu menjadikan tambang itu naik sebanyak RM12.

"Pemandu teksi ni minta RM1, kalau abang nak pergi ke Kg Baru," kata penjaga kaunter teksi itu. "Maklumlah, masa petang ni, jalan ke sana agak sesak sikit."

Pemandu teksi itu tidak bertanya terus kepada saya. Mungkin didorong rasa segan, malu. Malu itu separuh keimanan. Jadi, masih ada nilai-nilai murni lagi hadhari. Maka saya pun berkompromi juga, dan beri jugalah wang RM1.

(Err.. lagi pun, takkanlah saya nak menapak sehingga ke Kg Baru?)

Dalam perjalanan, pemandu itu melalui jalan di Bukit Tunku tempat di mana terletaknya rumah orang-orang kaya, termasuk rumah isteri pertama Najib sebelum Najib menikahi Rosmah Mansur. Itulah jalan terdekat ke Kg Baru bagi mengelakkan kesesakan.

Pemandu itu berceloteh banyak perkara mengenai LPKP, meter yang perlu dia sewa dan semua celoteh itu mungkin suatu reaksi tindakbalas ke atas sikapnya yang meminta RM1 daripada saya. Banyaklah juga kesusahan hidupnya yang dikongsi bersama.

"Ramai pemandu teksi Jalan Duta tu yang asalnya orang-orang kaya. Mereka jatuh muflis sebab lupa daratan," jelas beliau lagi. "Akhirnya, mereka terpaksa pandu teksi."

Apakah orang-orang kaya itu muncul tiba-tiba dengan sebab DEB setelah rapat dengan Umno tidaklah diketahui. Yang saya tahu, salah seorang daripada mereka itu telah jadi pembekal kepada segala peralatan seperti baju-baju tentera.

"Dia orang kampung saya di Kuala Pilah," kata kenalan baru saya itu. "Rumahnya lima, dan semuanya hilang sekelip mata setelah muflis."

Pemandu teksi tergolong dalam kalangan peniaga. Kita bukan hanya meniaga barangan, malah perkhidmatan. Pemandu teksi meniagakan perkhidmatannya membawa pelanggan ke tempat yang diinginkan oleh para pelanggannya.

Umno dan kaum peniaga termasuklah pemandu teksi, hubungannya cukup rapat bagaikan aur dengan tebing. Apabila pemandu teksi ini terpaksa melakukan suapan demi suapan ke atas LPKP, maka Umno perlu bertanggungjawab kerana menyebabkan pemandu teksi ini susah. Ini yang menyebabkan seorang daripada mereka meminta RM1 dari saya.

Ini cuma sepercik kisah gelap yang tertumpah ke telinga saya petang itu. Ada banyak lagi kalau mahu diceritakan semuanya sehingga melimpah-limpah pula nantinya.

Demi sesungguhnya, Umno serta polis secara tidak langsung telah menyusahkan peniaga dan pemandu teksi yang ingin mencari rezeki pada 1 Ogos lalu. Demikian menurut Raja Nong Chik yang sejak awalnya cuba 'mensasarkan' kerugian berjumlah RM200 juta!

Kalau taksiran kerugian itu menjangkau lebih RM200 juta, mungkin pada beliau, makin maraklah kemarahan rakyat ke atas demonstran dan penganjur perhimpunan 1 Ogos lalu. Namun, percubaan Nong Chik tak berhasil setelah jumlah taksiran kerugian tidak cecah angka yang beliau cuba sasarkan itu.

Mungkin terpaksa dibuat kajian lain agar angka, jumlah kerugian itu hampir sama dengan kenyataannya sebelum ini. Apa yang pasti, Nong Chik dan Najib memang berdendamlah dengan para demonstran dan pihak penganjur perhimpunan itu.

Ekoran dendam yang tak kunjung padam, media telah diminta mengguna kenyataan para peniaga khasnya, pemimpin pertubuhan peniaga yang sememangnya orang Umno untuk mengirimkan kutukan ke atas penganjur perhimpunan 1 Ogos lalu.

Tak apalah. Apa-apa pun, kalau pihak persatuan peniaga ada apa-apa masalah yang gagal diselesaikan, dan pemandu teksi yang ada apa-apa tuntutan yang tidak dipedulikan LPKP, maka tak perlu malu-malu bertemu dengan para demonstran untuk meminta bantuan.

Juga.. kalau ada mana-mana pihak cawangan khas Bukit Aman yang ada masalah dengan Musa Hassan, tidak perlu malu-malu bertemu dengan kami untuk berborak sambil pekena teh tarik di Restoren Haslam yang jadi pusat penggambaran drama Gerak Khas itu.

Demonstran jalanan, walau hatinya terluka gara-gara dipukul belantan FRU dan disembur air gatal, tapi pintu hatinya mungkin terbuka untuk mendengar keresahan polis juga.

Jika Umno ada tiga budaya Umno yang baru diperkenalkan Najib, kami pun ada budaya yang sama juga. Malah, demonstran jalanan ini lebih kental dalam rangka melaksanakan budaya-budaya Umno tadi; mendengar, berkhidmat dan menyelesaikan, insya Allah.

5:30 p.m, 9 Ogos Sekolah Pemikiran Kg Baru (Cawangan Pendang)

Segala pandangan dan maklumbalas boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.

- sumber dari : Harakahdaily


--
Ahakksss......

http://bloghijat.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails