Selamatkan MaLaYsiA Dan Semuanyaa...

Lakaran Zunar semasa didalam Lokap Polis...

Lakaran Zunar semasa didalam Lokap Polis...

Dr. Danial : Isu Non Muslim Masuk Masjid

Dr. Asri : Isu Non Muslim Masuk Masjid

13.12.08

Eksklusif: Menyingkap Satu Sejarah Genapnya 11 Tahun Blogger Cucumatkilau Jadi Penulis Blog !!


KUANTAN - Pada tarikh 5 Disember 2008 lalu maka genaplah 11 tahun (5 Dis 1998 - 5 Dis 2008) Blogger Cucumatkilau (CMK) yang mengendalikan laman blog www.cucumatkilau.blogdrive.com di alam siber. Beliau yang nama sebenarnya Mohd Shukri Jamaluddin yang juga bekas pemimpin pelajar di ITM Perak (90-91) merupakan anak jati dari Felda Jengka 7 Pahang. Blognya, adalah antara blog terawal yang mewarnai pentas reformasi politik negara. Bahkan, beliau juga antara blogger terawal yang lahir dari bumi Pahang Darul Makmur. Kami amatlah berbangga atas perkembangan itu, bahkan berbagai ranjau dan onak duri sepanjang beliau mengendalikan blog tersebut. CMK adalah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di alam siber bagi mereka yang biasa melayari laman-laman reformasi. Beliau menghasilkan blog tersebut sejak awal pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada UMNO dan kerajaan pada 2 September 1998, setelah melihat berlakunya ketidakadilan dalam kes mantan Timbalan Perdana Menteri itu. Hingga kini terdapat hampir 1,000 artikel beliau yang boleh didapati sama ada menerui internet atau pun medium yang lain. Anda boleh taipkan sahaja "cucumatkilau" atau "cucu mat kilau" menerusi carian Yahoo atau Google untuk mendapatkan artikel-artikel terdahlu yang ditulis oleh beliau selama ini. Malah ada sesetengah artikel yang sudah terdelete akibat laman blog dan web reformasi berkenaan sudah ditamatkan operasi atau tidak berfungsi lagi.

Menurut CMK, banyak kepayahan dan keperitan yang dilaluinya itu kini mengajar erti ketabahan untuk menyuarakan kebenaran serta menegakkan keadilan. "Saya melihat, iklim politik di Malaysia hari ini sudah jauh berbeza di awal gerakan reformasi dulu. Malah perubahan minda rakyat juga telah mendorong kebenaran dan keadilan itu tertegak jua akhirnya. Saya amat terharu dengan perkembangan ini. Saya bukanlah seorang pejuang politik seperti rakan-rakan yang lain. Namun selama lebih 11 tahun saya lebih banyak berada di belakang tabir untuk memantau serta melihat senario ini dari jauh" katanya ketika dihubungi.

Kenangan Pahit Manis Sebagai Blogger

Ketika ditanya apakah kenangan pahit dan manis beliau setelah 11 tahun bergelumang di alam siber. Beliau menjawab;

"Terlalu banyak untuk dikenang, pancutan gas pemedih mata, semburan water canon, diburu seperti penjenayah, ditekan, diugut dan diancam dengan berbagai gertakan telah saya terima. Namun kenangan paling pahit saya ialah ketika ditangkap oleh 8 orang anggota polis dalam satu serbuan pada 24 Disember 2007 lalu. Berita itu telah disiarkan dalam banyak laman blog. Saya dipukul, diugut dan diperlakukan sesuka hati oleh mereka dengan tangan bergari. Laporan polis sudah dibuat, namun hingga saat ini saya lihat mereka tidak melakukan apa-apa kerja untuk itu. Kemungkinan dalam masa terdekat ini saya akan menfailkan saman terhadap anggota polis terbabit yang telah memalukan saya dan menceroboh kediaman saya" katanya dengan serius. Klik sini Berita Tangkapan Cucumatkilau


"Manakala itu, kenangan manis saya pula ialah ketika menjadi juruhebah Majlis Perkahwinan Nurul Izzah Anwar di Bukit Damansara dulu, dan keduanya menjadi calon pilihanraya umum ke-12 lalu, mewakili PKR untuk kerusi DUN Kemayan, Parlimen Bera. Hubungan saya dengan ramai pemimpin politik baik pembangkang mahupun kerajaan agak rapat. Ini kerana ayahanda dan bonda saya adalah merupakan antara pemimpin utama UMNO setempat sejak saya kecil lagi. Bahkan saya juga sering mengendalikan majlis-majlis keramaian dan acara besar yang melibatkan pemimpin tertinggi negeri dan negara. Saya juga pernah menjadi penulis sambilan dibeberapa buah akhbar tabloid sebelum ini dan pernah terlibat dengan NGO di Pahang iaitu Majlis Belia Negeri (MBN), Dewan Muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Pahang (DPMM) dan juga Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Bahkan saya juga pernah bertugas sebagau Juruhebah di RTM Pahang suatu ketika dulu" tambah beliau lagi.


Merancang Adakan Roadshow Blogger

Selain dari menulis CMK juga amat aktif dalam bidang keusahawan dan beliau kini sedang menyiapkan buku dan kertas kerja usahawan siber yang dinamakan Projek Blogger Usahawan. Menurut CMK,

"Idea itu diilhamkan bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang benar-benar berada dalam perniagaan mereka sendiri. Dengan tema satu blog satu usahawan maka saya berharap ianya dapat menjadi pemangkin kepada semua rakyat Malaysia menjadikan blog sebagai sebahagian daripada hidup mereka. Sudah terlalu lama saya bergiat dalam blog, maka saya berhasrat untuk melatih dan mengajar seberapa ramai mereka diluar sana untuk mempunyai blog peribadi masing-masing. Sebagai langkah awal, mereka diajar menjana pendapatan menerusi blog terbabit dalam bidang keusahawanan. Dengan blog mereka boleh pasarkan bisnes mereka ke seluruh negara dan dunia dengan mudah serta kos yang minima. Saya akan mengadakan roadshow projek ini seawal bulan Januari 2009 nanti. Maka itu saya mempelawa kepada semua rakan-rakan yang berminat untuk menjadi agen di seluruh negara".

Apa Kaitan Dengan Nama Cucumatkilau

Ramai pihak yang tertanya-tanya apakah kaitan nama cucumatkilau dengan dirinya. CMK menjawab,

"Saya memang terharu dengan soalan ini. Ramai yang menuduh saya cuba menjaja nama Mat Kilau dan mengaku sebagai cucu Pahlawan Melayu terkenal di Pahang itu. Bahkan ramai juga keturuna Mat Kilau yang marah akibat penggunaan nama itu. Pada awalnya saya menggunakan nama danielMS untuk berkarya, namun sejak tahun 1999 saya menukarkannya kepada cucumatkilau. Sebenarnya bapa saya memang berasal dari Kg.Pulau Tawar Jerantut Pahang, iaitu kampung kelahiran serta perjuangan Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau.

Ini bermakna nenek moyang dan keturunan saya adalah darah pahlawan. Penggunaan nama cucumatkilau adalah dengan keizinan dan saya tidak perlu menyebut siapa saya yang sebenarnya. Saya juga adalah satu-satunya penyimpan khazanah "Kitab Kanun Salasilah 13 Generasi Keturunan Pulau Tawar" dan "Rahsia Kepahlawan Mat Kilau" yang ditulis semula pada tahun 1940 dulu. Saya juga pernah mencium keris 200 tahun Mat Kilau yang "original". Justeru itu, siapakah saya?. Cukuplah anda mengenali saya sebagai cucumatkilau. Tapi jika ada keturunan Pulau Tawar dan Mat Kilau yang masih mahukan kepastian, sekadar saya ingin maklumkan bahawa saya adalah dari keturunan Aki Mat Yunus Teh, Pulau Tawar. Siapakah beliau dan apa hubungan dia dengan Mat Kilau, itu hanya mereka yang kenal sahaja boleh menjawabnya.


"Bagi saya siapa saya itu tidak penting. Apalah gunanya nama, namun jika anda bertanya juga siapa saya. Cukuplah saya mengatakan apalah guna menjadi cucu pahlawan jika darah perjuangan langsung tidak ada dalam tubuh badan. Tidak langsung meneruskan perjuangan nenek moyang untuk menpertahankan agama, bangsa dan negara tercinta. Bagi saya, dulu nenek moyang saya dan Mat Kilau berjuang untuk menghalau penjajah British bertapak di Pahang ini, maka sekarang saya lahir sebagai pejuang untuk meneruskan perjuangan itu. Dulu penjajah ditentang, tapi kini dasar penjajah di julang! Maka itu, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membela nasib rakyat, menegak kebenaran dan menghapuskan penindasan serta kezaliman". tambah cucumatkilau lagi.

Pandangan Tentang Isu Blog Dan Politik Pahang

Ketika ditanya tentang senario politik di Pahang sekarang, cucumatkilau menyatakan bahawa beliau amat berharap satu perubahan besar dapat berlaku dalam masa terdekat ini atau menjelang pilihanraya umum akan datang. Kerajaan negeri sekarang ini dilihat sudah semakin peka dengan banyak masalah rakyat yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang. Bahkan kesudian MB Pahang bertemu dan duduk semeja dengan YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan juga katanya menampakkan bahawa Dato' Seri Adnan Yaakob kini lebih bersikap terbuka dalam menangani pemasaalahan rakyat. "Inilah yang kita mahukan sebenarnya. Dato' Adnan perlu menjadi Menteri Besar untuk seluruh rakyat Pahang dan bukannya untuk orang UMNO semata-mata. Penyokong pembangkang juga membayar cukai kepada kerajaan, dan harus dilayan secara adil dan saksama. Rakyat sudah mula bijak menilai. Jika mereka lihat ada kepincangan dan kesilapan yang berlaku maka mereka akan sampaikan kepada yang lain. Akhirnya satu kampung akan menolak kita. Justeru itu kerajaan negeri harus bersikap terbuka dalam menangani isu-isu rakyat tanpa mengira fahaman politik. Mungkin hari ini rakyat membenci beliau, tapi satu hari nanti kembali suka. Namun, biarlah ada caranya. Inilah politik namanya" kata CMK.

Ditanya tentang langkah kerajaan melahirkan ramai penulis blog untuk bertempur dengan blog-blog pro pembangkang di alam maya. Beliau berkata "Saya melihat ini satu perkara yang sihat dan satu style politik alaf baru. Berdebat dan bertikam lidah di alam siber adalah satu wadah perjuangan yang menepati citarasa anak-anak muda masa kini. Tambahan pula 2 juta pengundi muda akan berdaftar secara sah dalam pilihanraya umu akan datang. Bagi saya langkah kerajaan negeri melantik penulis blog dikalangan pesara mungkin ada sedikit kesilapan. Ini kerana bukan semua pesara boleh menjadi penulis blog yang baik. Pengalaman saya selama 11 tahun dengan blog memperlihatkan bahawa penulis blog harus peka dan menghayati kerjayanya itu. Bukan boleh dibuat-buat atau lakonan semata-mata. Saya tidak pernah dibayar walau satu sen pun sejak menulis blog dari tahun 1998 lalu. Namun jasa saya juga banyak dalam membantu perjuangan rakyat di negara ini. Kita tidak mengharapkan balasan dan imbuhan, cuma perhatian yang amat diperlukan buat masa ini". CMK juga tidak menolak kemungkinan untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kekalutan politik yang berlaku di Pahang pada masa ini dan masa akan datang. "Bagi saya, sebagai orang Melayu dan Islam kita haruslah bersatu demi perjuangan dan masa depan generasi akan datang. Perbalahan sesama kita bakal mengundang masalah yang lebih besar jika tidak ditangani dengan betul" katanya mengakhiri perbualan.



-dari weblog PahangDaily.


3 ulasan:

kulupSakah berkata...

aku membesar di pahang dan aku berbangga dengan shukrisebagaimana aku berbangga dengan Mat Kilau dan tok Gajah..sebahagian tubuhku di sini dan aku pasti menjawab aku orang pahang bila ditanya aku dari mana...perak tempat aku dilahirkan dan aku juga berbangga di sana ada 'amuk' melawan Birch millenium!

Hijat Panjang... berkata...

salam...

tahniah dan syabas kepada otai2 blogger terutamanya bro shukri a.k.a cucumatkilau yang hampir 11 tahun mengharung pahit jerih sebagai blogger..tak tidak lupa juga kepada bro kulupSakah...anda juga tidak kurang hebatnyaa...

kepada semua blogger2 pro-reformasi, jangan lupa untuk sertai Konvensyen BloggersNetwork@Malaysia yg akan berlangsong di Pasir Puteh, Kelantan pada 10 & 11hb Januari 2009 (sebelum ke PRK Kuala Terengganu).. Konvensyen Besar-besaran PERTAMA akan diadakan untuk mengumpulkan semua blogger seantero malaya..

Mai jangan tak maii..

ISA berkata...

Salam Hijat,

Semoga segala pahit getir yang di lalui oleh CMK menjadi pemangkin kepada para blogger Malaysia,termasuk diri saya khususnya yang baru belajar menaip ni.

Bro.. KulupSakah pun apa kurangnya.. dah masuk kategori OTAI tu...

Tabik pada tuan semua....

Related Posts with Thumbnails